Wednesday, October 26, 2022

Ya!!!!! Saya Wanita Yang Penting Diri | Dunia Hanya Sementara

Ya!!!!! Saya Wanita Yang Penting Diri | Dunia Hanya Sementara

Ya!!!!! Saya Wanita Yang Penting Diri | Dunia Hanya Sementara | Assalammualaikum dan selamat petang semua. Semoga kita semua dalam rahmat & lindungan Allah senantiasa, amin. Sebenarnya, dah lamaaaaaaa saya nak buat entry bebelan luahan rasa hati. Tapiiiiii, asyik tak berkesempatan jaaaaaaa. Kali ni tak kira, nak bebel juga, sebab saya memang emosi.


Dah lama dan banyak kali kita dengar dan lihat cerita wanita teraniaya dan diuji dalam kehidupan rumah tangga. Baik secara kehidupan sebenar di depan mata kita ataupun yang kita baca & lihat di alam maya. Rumahku syurgaku, lelaki kiriman tuhan, bahagia hingga ke syurga. Semua itu hasrat seorang wanita, isteri dan juga ibu, semestinya kan3. Tetapi adakah wujud insan yang betul-betul  menikmatinya?? Kadang-kadang yang dipamerkan di khalayak tidak sama dengan apa sebenarnya yang berlaku kan3. Diportraitkan sebagai seorang yang sangat bahagia, tetapi sebenarnya sedang menahan rasa. Kadang tu, tidak pernah menunjukkan bahagia atau derita rumahtangga pun, tetapi itu pun sebenarnya dia sedang retak menanti belah. Ataupun dia seorang yang memang meluahkan rasa hatinya, tetapi dia tetap terus menderita hingga akhir hayatnya. Pelbagai kisah, aneka cerita.


Kisah terkini adalah mengenai seorang Ibu hamil yang maut bersama bayi yang dikandung. Berita ini sekali lagi menyentak benak fikiran dan naruni saya sebagai seorang wanita, isteri dan juga Ibu. Bagi saya dia seorang isteri dan Ibu yang menanggung semuanya sendiri walaupun bersuami. Kita tolak tepi bab kewangan, cuma lihat pada dasar melalui penulisan/luahan beliau di dalam FB peribadinya. Luahan yang dibuatnya, saya pasti bukan berniat hendak menyelak pekung rumahtangga sendiri, tetapi lebih kepada cuba mencari ruang untuk meluahkan apa yang terbuku. Bebanan tanggungjawab fizikal rumahtangga, bebanan rasa emosi rumahtangga, semuaaaa dia terpaksa tanggung dan telan sendiri, kerana PJJ, perhubungan jarak jauh. Si isteri sahajakah yang menaggung?? Apa pula yang ditanggung si suami?? Banyak persoalan dan pertikaian bermain di benak saya. Kenapa semua si isteri yang kena tanggung, dari anak pertama sehingga anak nak masuk lima??  Dimana letaknya keberadaan dan tanggungjawab si suami pula?? Sehinggakan si isteri seolah-olah dalam keadaan TERPAKSA & TERTEKAN, menguruskan rumahku syurgaku-nya?? NIKMAT terbesar Allah kurniakan kepada seorang isteri adalah rumahtangganya. Bahagia seorang isteri pabila menguruskan rumahtangga, anak-anak, dan juga suami. Saya pasti ini bagi semua isteri & Ibu. TETAPIIIIIIIIIIII, jika si isteri sudah tidak dapat merasa nikmat dan bahagia itu, dan sebaliknya merasa terpaksa & tertekan kerananya, ini bermakna ada yang sudah tidak kena disitu. 


Dalam situasi yang berlainan, contohnya perihal kisah penyanyi/pelakon Indonesia yang menggemparkan baru-baru ini. Yang mana si suami melakukan keganasan rumah tangga kepada isteri. Isu ini heboh diperkatakan sehingga ke Malaysia, dan si suami ditahan untuk tujuan dakwaan. Akhirnya sekali lagi semua digemparkan apabila si isteri menarik balik dakwaan, memaafkan dan menerima kembali si suami. Sebelum kisah rumatangganya menjadi buah mulut semua, tidak pasti sudah lama mana si isteri manahan rasa, menanggung beban, dan bersabar. 


Di Malaysia pun banyak kes sebegini kan3, baik yang melibatkan orang yang dikenali mahupun orang biasa. Suami curang berkali-kali, isteri tetap menerima, suami melakukan keganasan rumah tangga berkali-kali, isteri terima juga, suami memberi tekanan emosi tanpa henti, isteri terus terima, suami tidak menjalankan tanggungjawab zahir & batin, isteri terima lagi, dan lagi dan lagi. Telan, berdiam, bersabar, redha, memaafkan, terus menenerima dan mengharapkan ada sinar bahagia diakhirnya. Sehingga satu tahap, sampai ke hujung nyawa si isteri.  Sehingga ke tahap itulah demi rumahtangganya.


Sesetengah senario itu sering dikatakan perkara kecil. Tetapi bermula dari yang kecillah ianya menjadi besar. Bila disuarakan rasa hati dikatakan isteri berkira, bila di nyatakan ketidakpuasan hati, dikatakan derhaka. Akhirnya, isteri terus memendam rasa kerana tidak mahu dikatakan penting diri, mahu menjadi isteri solehah. Wajibkah untuk terlampau memikirkan kata-kata orang, terlampau mengutamakan kehendak dan kebahagian orang lain, sehinggakan mengenepikan kepentingan dan kebahagiaan diri sendiri. Utamakan suami, dahulukan anak-anak. Diri sendiri??? Dimana letaknya??? Siapa yang akan ambil berat?? Sudahnya, bila sudah tidak tertanggung, ada yang terus menjemput ajalnya sendiri, membunuh diri. Contohnya dalam beberapa minggu lepas wanita bertudung labuh yang hendak terjun jambatan, beberapa hari lepas, seorang Ibu hamil berbangsa cina terjun dari jambatan Pulau Pinang. Kisah lama dahulu yang mana seorang Ibu sanggup meracun semua anaknya dan cuba membunuh diri. Ini bukan lagi kisah diluar negara. Ini kisah di Malaysia. Dekat dengan kita. 


Saya tidak faham kenapa seorang wanita, seorang isteri, dan seorang Ibu perlu menahan, perlu terima, perlu telan semua perkara, walaupun perkara itu memakan dirinya dari dalam?? Kenapa seorang wanita, seorang isteri, dan seorang Ibu perlu mementingkan semua orang dan mengenepikan diri sendiri?? Kenapa seorang wanita, seorang isteri, dan seorang Ibu perlu memastikan kebahagiaan orang lain sedangkan dirinya sendiri derita?? Kenapa seorang wanita, seorang isteri, dan seorang Ibu perlu menderita dahulu untuk menjadi seorang wanita solehah, Ibu mithali?? Adakah dengan ini, baru kita akan dianggap wanita, isteri atau Ibu?? Sehingga sekarang, sudah 41thn hidup dimuka bumi ini, saya belum lagi menjadi seperti itu. Ya, saya seorang wanita yang mementingkan diri sendiri. Salahkah?? Berdosakah jika saya mementingkan kebahagiaan sendiri?? 


Siapa yang mengenali saya secara personal pasti tahu macam mana diri saya, keluarga saya. Saya buat sehabis mampu menguruskan rumahtangga, anak dan suami. Selagi saya mampu buat sendiri, saya pasti akan buat. Selagi saya mampu membahagiakan mereka saya akan buat. Saya sememangnya mengutamakan rumahtangga, anak dan suami, tetapi saya masih mementingkan diri sendiri. Oleh itu semestinya saya juga perlukan mereka membuat perkara yang sama kepada saya. Saya juga perlukan mereka membahagiakan saya kembali. Saya juga perlukan mereka mementingkan diri saya kembali. Jika ini dikatakan mementingkan diri, jika ini dikatakan berkira, jika ini dikatakan tidak ikhlas, jika ini dikatakan derhaka, so be it. Dunia ini hanya sementara. Kita nak hidup bersama, makanya perlu bersama-sama dalam segala hal. Bukanlah bermaksud setiap inci perkara itu ditimbang tara. Isteri buat satu, suami buat satu. Ibu buat satu, anak buat satu. Tidak ada seorang isteri atau Ibu yang demand sehingga ke tahap itu. Saya pasti kita sudah rasa puas hati jika sekurang-kurangnya kita juga menerima, bukan samata-mata memberi. Semoga semua wanita, isteri dan juga Ibu diluar sana sentiasa diberikan kekuatan untuk mengutamakan dan membahagiakan diri sendiri disamping keluarga tersayang. Love yourself more than love the others.


~~~ The End ~~~

No comments:

Post a Comment